Antara perkara yang Allah boleh campak ke dalam hidup insan yang kadang-kala insan itu tidak boleh berbuat apa bahkan memang tak boleh berbuat apa...satu jenis, satu perkara iaitu 'Al-Hazan'...duka cita... Allah boleh mencampakkan kesedihan dalam diri insan tanpa mengira siapa insan itu. Kadang-kadang dia orang besar, kadang-kadang dia orang kecil... Kadang-kadang dia rakyat jelata, kadang-kadang dia raja. Kadang-kadang kesedihan boleh datang ke dalam hidup insan tetapi dia tidak tahu mengapa dia bersedih. Kadang-kadang Allah jadikan satu masalah dalam hidup insan yang pada orang lain tidak menimbulkan kesedihan tapi pada dia mengundang kesedihan...
Bila sedih datang manusia mula runsing, manusia mula cari bagaimana dia hendak keluar dari sedih. Ramai orang yang menemui Allah dan mencari Allah ketika dia sedih. Dan tak ramai orang yang mencari Allah ketika dia gembira. Walaupun kita tak disuruh mencari sedih, tetapi sedih berjaya membawa kita bertemu Allah.
"Allahummainni a'uzubika minnalhamni wal hazan"
Ya Allah, aku pohon perlindungan dariMu daripada dukacita terhadap perkara yang akan datang (ham) dan dukacita terhadap perkara yang telah menimpa (hazan)
Ramai orang yang bukan kaki masjid, datang ke masjid kerana ada perkara yang mendukacitakan dia. Ramai orang yang sombong tunduk menjadi tawwaduk kepada Allah kerana peristiwa yang mendukacitakannya. Jika tak kerana Allah mencampakkan dukacita itu, mungkin dia mati sebagai ahli neraka. Tapi Allah, dengan kesantunanNya, kelunakkanNya, Dia bawa hamba daripada peristiwa ke peristiwa, kejadian demi kejadian sehingga apabila insan itu dirahmati dia dapati tiba-tiba hari ini dia menyebut "Ya Allah, kasihanlah padaku..."
Allah akan sentiasa mengenakan insan dari semasa ke semasa dukacita antara kecil dengan besar supaya dia kembali pada Allah....dan bila dia kebali ke akhirat kelak, dia akan berkata " Alhamdulillahillazi azhaba'annalhazan"...segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan daripada kami dukacita. Apabila insan menghadapi dukacita, pasti akan bertanya apakah yang perlu dilakukan... Yang utama, perlulah beramal soleh... bunyinya seperti mudah... tetapi apabila kita solat, keadaan kita tidak sama. Adakala kita solat kita rasa dekat dengan Allah, adakala kita solat, kita sendiri tidak ingat apa yang kita baca. Ada hari kita baca Al-Quran kita rasa dekat dengan Allah. Ada hari kita bangun tengah malam kita rasa khusyuk sangat. Ada hari sampai tengah malam sunyi pun merewang fikiran kita.
Untuk membolehkan insan dekat dengan Allah, dia memerlukan jiwa dan hati nurani yang dekat dengan Allah. Kadang-kadang banyak perkara tak dapat membawa insan kepada Allah, tetapi kesedihan dapat membawanya. Jika kita tidak ingin kesedihan dunia kita pasti akan sedih diakhirat. Ramai orang suka mengandaikan bahawa kehidupan yang baik itu apabila kita ada kemewahan yang hebat. Walaupun itu boleh menjadi penyumbang, namun itu bukan segala-galanya. Betapa ramai orang yang berada dalam rumah yang besar, tidur di atas katil yang empuk tetapi tidurnya tidak nyenyak... bahkan ada orang yang tidur di pondok buruk, kadang-kadang dia lebih lena daripada kita...
Kata Hamka... "Lihatlah, bagaimana Allah telah membahagi-bahagikan nikmat.." Jika Allah ingin memberikan kebahagiaan kepada seseorang, dia tidak boleh ditahan oleh apa-apa tangan sekalipun. Jika Allah menghalang kebahagiaan kepada seseorang, dia tidak boleh dihulur oleh apa-apa tangan sekalipun. Jika Allah uruskan urusan kita dan Allah tidak serahkan diri kita kepada kita, walaupun sekelip mata dunia boleh berbuat apa-apa tetapi mereka tidak boleh mencabar kebesaran kerajaan Allah. Jika Allah mengatur untuk kita apa yang orang sangka tewas, kita akan melihat kemenangan dari sisi Allah.
Kadang-kala manusia jika hilang sesuatu di dunia ini bagaikan dia hilang segala-galanya. Cuba ingat, berapa banyak kali didalam hidup kita mengalami keperitan hidup? Ketika kita kena keperitan kita rasa kita tidak boleh keluar daripadanya. Tapi hari ini Allah telah keluarkan kita dalam keadaan yang baik. Siapa yang tidak melaluinya, tidak akan memahami maksudnya. Orang-orang yang pernah hidup dan bertawakkal dia akan mengetahui tentang keajaiban bertawakal. Apabila insan melihat dunia dari dimensi akhirat, dia akan merasakan dunia ini sangat kecil, kehidupan ini sangat luas.
Kita selalu nak bersyukur jika kita diberi benda baru dan kita lupa bahawasanya apa yang ada pada diri kita hari ini adalah suatu nikmat yang besar. Kata Hamka “yang ada ini sudah harapan kita”. Sebahagian para sarjana menyebut syukur kadang-kala lebih tinggi makamnya daripada sabar. Ramai orang terpaksa sabar tapi belum tentu orang yang mendapat nikmat itu bersyukur. Bila kita melihat hidup ini secara keseluruhan kita akan rasa apa yang Allah kurniakan kepada kita lebih daripada harapan kita sebenarnya.
-dipetik dari ceramah Dr.Maza
No comments:
Post a Comment